courtesy from berita harian
Semakin sibuk jalani penggambaran drama muzikal Kau Dan Aku usaha sama produksi Astro dan Indonesia
JUARA Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmilla Jirin masih tegar berjuang meneruskan hayat seninya. Tidak muncul di majalah atau surat khabar tidak bererti penyanyi genit ini sudah mula hilang daripada pandangan mata umum. Kontraknya bersama Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) besar kemungkinan bakal disambung lagi demi keyakinan yang cukup tinggi dalam memastikan pacuan kerjaya seninya. Selain sibuk dengan perniagaan LuvMILA Corporation Sdn Bhd menjual produk penjagaan kebersihan diri wanita, penyanyi lagu Persis Mutiara ini sibuk mengimbangi kerjaya seninya.
Ketika dihubungi baru-baru ini, Mila berada di Filmwork Studios, Taman Tun Dr Ismail untuk merakamkan lagu solo berjudul Menanti untuk drama muzikal Kau Dan Aku. Malah menerusi drama terbitan Astro dengan usaha sama produksi Indonesia itu, Mila turut menjadi heroin berlakon di sisi bintang AF7, Aril dan Akim. Drama itu turut memperlihatkan gandingan sulung Mila menjadi kekasih kepada Akim, manakala Aril pula bergelar bekas kekasih kepadanya. Tetapi semua itu adalah tuntutan watak bagi memastikan plot drama terbabit terus berkembang. “Selain lagu solo, Mila turut menyanyikan dua lagu duet bersama Aril dan Akim. Dengan Akim, kami berduet lagu tema drama itu menggunakan judul yang sama. Lagu Lelaki Pujaan pula adalah lagu duet Mila dengan Aril. Aril pun turut berduet dengan Akim, malah mereka juga diberikan lagu solo seperti Mila.
“Untuk drama muzikal 26 episod ini, Mila akan memegang watak seorang gadis yang berperwatakan agak kasar dan kehidupannya diuji dengan pelbagai konflik termasuk kisah peribadi. Kalau ada yang masih ingat, sejurus beberapa hari AF7 tamat, Aril dan Akim ada ke Indonesia untuk merakamkan episod pengenalan drama ini. Mila juga turut ke sana. “Selain Mila, Aril dan Akim, antara nama pelakon lain yang turut terbabit dalam drama ini ialah Noni dan Farish Aziz. Kebanyakan pelakon penting dalam drama ini membabitkan pelakon Malaysia. Insya-Allah Mila akan ke Indonesia lagi melunaskan baki penggambaran drama itu selama dua bulan sehingga September ini,” kata Mila sambil memberitahu drama ini dijangka disiarkan sekitar September depan. Berusaha tembusi pasaran Indonesia MENGENAI perkembangan kerjaya nyanyiannya, Mila juga memilih sebuah lagu dari Indonesia sebagai strategi serampang dua mata untuk melebarkan label namanya di sana.
Melalui perkenalan dengan teman bernama Richard Kyoto dan Denda SR menerusi laman sembang, Facebook, Mila diberi kesempatan berharga yang tidak pernah langsung difikirkannya sebelum ini. Mempraktikkan cara yang sama dilakukan artis pada masa kini dengan melahirkan lagu single demi single, Mila sedar keadaan pasaran muzik sekarang tidak mampu memberi jaminan untuk album penuh dikeluarkan sekali gus. Menurut gadis kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu, mengikut perancangan yang dilakukan dengan AESB, dia akan menerbitkan sendiri tiga buah lagu dan lima buah lagu lagi dibiayai AESB. “Mila keluarkan duit sendiri melalui syarikat LuvMILA Corporation bagi tiga single terbabit. Mila bajet untuk sebuah lagu, kos keseluruhannya dalam RM10,000. Kos itu tidak termasuk pembikinan klip video. Malah, Mila juga sedang meneliti senarai harga produksi tempatan dan dari Indonesia untuk membikin klip video. Semuanya masih dalam peringkat perbincangan. “Untuk lagu Siapa Tak Percaya Cinta ciptaan Richard Kyoto dan liriknya nukilan Denda SR, ia dirakamkan dalam tempoh dua hari ketika Mila ke sana pada 21 hingga 23 Jun lalu bersama tiga orang staf LuvMILA Corporation. Insya-Allah lagu berentak balada ini akan diputarkan di stesen radio tak lama lagi. “Menerusi kerjasama yang dilakukan Mila dengan pengkarya seni dari sana, ia dilakukan atas dasar mencuba nasib untuk menembus pasaran seberang. Cara ini dilihat mudah untuk lagu Mila dimainkan di sana. Kiranya ia sebagai batu loncatan untuk Mila mengembangkan bakat di negara itu,” kata Mila yang berkesempatan mengedarkan cakera padat album terdahulu kepada penerbit lagu dan drama serta syarikat pengedar album sewaktu kunjungannya ke Indonesia. Selain single berkenaan, Mila merakam beberapa single baru berjudul Rahsia Sanubariku ciptaan Azmeer dan Allahyarham Loloq serta Jika Kau Ubah Fikiran bersama KRU Productions. Kata Mila, lagu Rahsia Sanubariku akan menjadi single keduanya selepas lagu Siapa Tak Percaya Cinta.